Tuesday, November 20, 2012

NUKILAN BUAT IBU YANG BERNAMA MARIAM BTE OTHMAN





Nukilan buat seorang Ibu yang bernama Mariam.

Mariam Binti Othman, itulah nama seorang wirawati yang hebat dalam hidup aku. Banyak keistimewaan nama yang sehebat itu. Bukan sekadar pada erti Mariam itu saja, malahan terbukti melalui aksinya.

Seorang yang taat pada Allah.
Sentiasa menekankan nilai-nilai keislaman yang tinggi dalam keluarga. Amat mementingkan mengaji al-quran dan solat kepada anak-anaknya. Anak diajarnya sndiri bersama ayah. Mereka berdua sememangnya mempunyai asas agama yang kukuh kerana belajar di pondok yang ternama sewaktu remaja mereka. Semua anaknya boleh dikatakan boleh membaca al-quran walaupun tak begitu lancar. Mereka akan sentiasa memastikan anak-anak membaca al quran dan solat fardu setiap hari dan setiap waktu semenjak dari kecil hinggalah dewasa dan masing-masing boleh berfikir dengan waras untuk menjalankan tanggungjawab dengan sendirinya. Mereka juga menerapkan nilai-nilai keislaman kepada setiap anaknya. Hormat orang tua, jujur, adab dan adat dan sebagainya.

Saat aku kecil…
Che seorang yang sangat tabah dalam merancang rumahtangganya di samping seorang suami dan anak-anak yang ramai. Banyak yang dikorbankan dalam memastikan semua anaknya berjaya walaupun dalam serba kekurangan, boleh diibaratkan kais pagi makan pagi. Tapi pantang baginya menagih simpati bagi meneruskan kelangsungan hidup. Tiada kemewahan dalam hidupnya. Sentiasa berjimat cermat. Pandai mencari peluang rezeki.

Bercucuk Tanam.
Sewaktu aku belum dilahirkan, keluarga kami mencari rezeki melalui bercucuk tanam. Tanam padi, tembakau, ubi, tembikai dan apa jua tanaman yang boleh menghasilkan rezeki untuk hidup. Pernah diceritakan, che ayah bawa anak yang kecil ke ‘dangau’ atau pondok di tempat bercucuk tanam dan diletakkan dalam buaian sambil buat kerja pertanian. Manakala anak2 yang besar sikit jaga adik-adik dan ada juga yang bersama membantu. Yang bersekolah mesti ke sekolah, tiada kompromi untuk tidak bersekolah.




Menjahit.

Puan Mariam berkemahiran dalam menjahit pakaian. Di musim raya che akan menerima tempahan yang begitu banyak sekali. Antara tempahan yang paling banyak diterima ialah baju kurung. Pada zaman itu(1970), diceritakan upahnya tidak mahal, hanya rm5 sepasang dan meningkat sedikit demi sedikit hinggalah yang terakhir che ambil tempahan (2002), seingat aku hanyalah rm20 sepasang baju kurung. Di kala banyak tempahan itu, ayah akan turut membantu che menjahit baju yang mana termampu. Hasil dari duit ini bolehlah digunakan untuk persediaan kami sekeluarga menjelang musim perayaan. Kini, kemahiran menjahit yang ada pad ache telah diwarisi oleh anak-anaknya tidak kira lelaki atau perempuan, semuanya boleh dikatakan berkemahiran dalam menjahit. Anak perempuannya, Saliha, Zulzilah dan Zuriati sentiasa menerima tempahan baju kurung di saat hari raya menjelang. Che mula tidak mengambil tempahan setelah diserang angina ahmar pada 2002. Walaupun lumpuh anggota sebelah kanan, che tetap gigih dalam meneruskan hobi menjahitnya dengan menjahit pakaiannya sendiri. Kenapa tak beli je? Katanya tak sedap pakai yang orang lain jahit sehinggakan walaupun dibeli dibutik terkenal sekalipun, che tetap akan membaikinya supaya kene dengan keselesaanya sendiri. Che Ngoh(birasnya) masih meminta che menjahit jubah untuknya kerana katanya sedap pakai yang che jahit. Hebatkan??? Dalam kenangan…

Memasak.
Che juga mempunyai keistimewaannya dalam masakan. Masakan kampungnya menjadi kegemaran anak-anaknya. Sehinggalah menjadi rujukan bagi anak-anak  dan menantu yang berada jauh diperantauan. singgang pedas, singgang bodo, sambal belacan, budu, ulaman, celor  pucuk kayu, gulai ikan darat, ikan panggang dan banyak lagi. Pada hari raya pula, menu yang mesti ada ialah nasi impit dengan sambal ikan dan sambal tumis kacang, lontong, tapai, rendang  dan ketupat. Biasanya che akan sediakan menu tersebut  sendiri dengan dibantu anak-anak dan ayah. Sehinggalah saat che uzur pun, che tetap meminta anak-anaknya menyediakan menu tersebut. Pada raya yang terbaru setelah pemerigan che, menu tersebut sudah ada yang kurang. Dan di saat itulah perasaan sepi dan sedih hadir lalu berlinanglah air mata.

Pemimpin masyarakat.
Che juga giat dalam aktiviti kemasyarakatan seperti usrah kaum hawa, bacaan yaasin dari rumah ke rumah, memasak bubur asyura, dan juga dalam politik. Pernah che ditawarkan sebagai guru jahitan bagi KEMAS kawasan. Tapi che menolak tawaran tersebut atas alasan menguruskan rumahtangga. Namun che tetap tidak sombong jika ada yang ingin belajar menjahit dengan syarat dating ke rumahnya. Che tak boleh nak tinggalkan anak-anaknya yang sedang membesar. Hinggalah saatnya uzur, namanya tetap tidak dilupakan dalam majlis keramaian yang diadakan. Bias liurnya masih berbisa. Che seorang yang dikenali di kawasan kami. Aku kagum!!!

Nenek dan cucu.
Pn Mariam dipanggil dengan panggilan nenek oleh cucu-cucunya. Amat menyayangi cucu-cucunya dengan sentiasa menasihati cucunya supaya sembahyang, mengaji al quran dan menutup aurat. Itulah pesanan setiap kali anak cucunya pulang ke rumah masing-masing. Jika ada yang baru lahir, che akan pergi walau jauh hingga Pakistan sekalipun. Hanya nenek saja yang tahu betapa gembiranya dia setiap kali menerima berita lahirnya cucunya yang baru. Ada juga antara cucunya yang sedia berkongsi cerita dengannya hal-hal peribadi tanpa menceritakan pada ibunya. Betapa rapatnya hubungan seorang nenek dengan cucunya.

Sentiasa ingat pada anak-anak cucu.
Jarak sememangnya tidak dapat memisahakn antara anak dengan orang tuanya. Sentiasa bertanya khabar, berkongsi cerita, masalah, hal rumahtangga, pelajaran dan sebagainya. Jika tahu anak cucunya mahu pulang, pastinya akan disediakan makanan walau tak banyak. Sewaktu che tahu anaknya yang berada di Pakistan mahu pulang, disediakan cucur pisang untuk anak menantu dan cucunya. Namun hajatnya itu tidak kesampaian apabila hanya cucu dan menantunya saja yang dapat merasainya. Anaknya pulang dengan seribu kejutan apabila hanya pulang dengan jasadnya sahaja.

Tanaman hiasan.
Seperti kebanyakan surirumah yang lain, che juga suke menanam tanaman hiasan di sekitar laman rumah. Banyak koleksi tanamannya yang biasa, luar biasa, yang jauh dan berwarna-warni. Setiap kali berkunjung ke mana-mana, che mesti akan membawa pulang apa-apa pokok seranting dua. Dari Johor, Kedah, KL, mahupun Sabah, mesti ada saja pokok yang dibawa pulang. Laman rumah penuh dengan pokok-pokoknya. Ayah begitu memahami perasaanya dengan sentiasa membantu che menanam pokok-pokoknya. Dalam keadaan uzur sakit sekalipun, che masih aktif dengan menanam pokok hiasan, merumput, trim, dan menyiram. Sehinggalah che tiada, pokok-pokoknya masih dijaga dan disiram. Tanaman yang mempunyai nilai sentimental yang tersndiri. Akan dikekalkan dan ditambahbaik, dan jauh sama sekali untuk dihadiahkan mahupun djual kepada orang lain.

Seorang penyayang.
Amat menyayangi keluarganya… suami, anak-anak, cucu-cucu… semua harta benda di sekelilingnya. Setiap barangannya akan dijaga sebaik-baiknya. Amat mementingkan kekemasan dalam rumah. Saya sering kali dimarahi kerana selalu tak jaga pakaian dan letak merata-rata tempat. Buku-buku, kitab-kitab, sentiasa tersusun kemas. Segala yang berharga dan pakaian yang masih cantik elok akan disimpan, sehinggakan penuh almari. Tidak sama sekali che akan membuang barang-barang tersebut, melainkan disedekahkan kepada mereka yang memerlukan. Itulah sifatnya, sangat penyayang.

Semasa sakit.
Antara bahagian yang paling sukar untuk diceritakan. Namun tetap digagahi untuk menulis sebagai bukti che seorang yang hebat. Dalam keadaannya sakit, che tidak pernah sama sekali meninggalkan tanggungjawab sebagai muslimat yang taat pada perintah Allah. Sentiasa solat lima waktu bersama solat-solat sunat dan membaca al quran selepas solat. Turut mengamalkan doa-doa harian tanpa berputus asa memohon dikurniakan kesihatan yang baik di samping keluarga yang bahagia. cukuplah cerita.. rasa mcm nk hujan ni...

Sekarang....
Che telah kembali kerahmatullah pada bulan 7 yang lepas akibat serang angin ahmar kali yang ketiga setelah berada dalam keadaan lunpuh separuh anggota kanan selama 10 tahun.

Al fatihah untuk ibu. 1948-2012
Ya Allah, tempatkanlah che di kalangan orang yang beriman. Ampunilah dosa-dosanya, semoga amal baiknya sentiasa berterusan melalui anak-anaknya.
Aku, penulis merupakan anak bongsu Pn Mariam.
Anakanda merinduimu Bonda dari jauh, Wan Ahmad Hafizuddin B W Mohd

8 comments:

mawar said...

Apih.. mu buat saya nangis.... huhu...

:'(

Alfatihah utk che..
Che mmg hebat.. patut tmbah
Mertua yang sporting! :)

wanahaf said...

ade lg part yg sedih2..tpxleh nak teruskan.. saya pun rs berlinang air mt ms menulis td.. ya, che memang sporting dgn anak menantu dia...

tamsilankendiri said...
This comment has been removed by the author.
- Luv - said...

berlinang air mata membaca...mesti che bangga ada ank2 yg berjaya.. Semoga rohnya dicucuri limpahan rahmat dari Allah, dan digolongkan di kalangan orang-orang yang diredhai Allah...

Set Menyusu , Berpantang & Milkbooster Shaklee said...

Alfatihah. Moga Jannah miliknya

WS Zuriati said...

Apih..aku baru bc entri mu...kamu telah merobek jiwaku...sampai aku menangis lagi teringatkan dia....kamu tahu...kami semua sayangkan dia...Al Fatihah untuk che' kita yg tersayang....

Anonymous said...

Jangan lupa... bacalah dan hadiahkanlah sesuatu dikala awal pg sbg breakfast tghari sbg lunch dan mlm sbg dinner utk .... sambil sambil baca demi ibu kita tersayang....

~::PermatA::~ said...

Tetiba manik halus jatuh membasahi pipi. Semoga Allah kurniakan kebahagiaan buat dia di sana.

P/S Pi baru je cerita yg dia mimpikan cik semalam..cik suruh dia amalkan selawat banyak2. Sebab katanya nnti Allah mudahkan segala urusan kita.