Monday, August 16, 2010

Tasik Kenyir

Pada cuti hujung tahun lepas, penulis tidak melepaskan untuk bersama-sama beberapa orang rakan dari Jabatan Imigresen Negeri Terengganu telah memulakan cabaran menaikkan toman di Tasik Kenyir. Banyak cerita di kedai kopi yang mengatakan bahawa Tasik Kenyir terdapat banyak ikan toman serta bersaiz besar. Ini memandangkan tasiknya yang sangat luas dan terdapat pelbagai spesis ikan kecil sebagai makanannya. Namun begitu, terdapat juga ikan lain seperti ikan baung, ikan belida, dan baru-baru ini dikejutkan dengan cerita ikan naga di tasik ini. Semua ikan ini adalah antara spesis yang mampu membesar pada saiz yang amat besar. dalam trip kali ini, ayah penulis juga yang merupakan seorang kaki pancing turut serta. Ayah penulis boleh di anggap sebagai orang lama dalam hobi memancing.

Kami memulakan perjalanan di Empangan Janakuasa Hidroelektrik Tasik Kenyir seawal jam 8 pagi dengan menyewa sebuah house boat, atau rumah bot. house boat ini mampu memuatkan antara 10-20 orang pada satu-satu masa bergantung pada saiznya. di atas bot ini terdapat pelbagai kemudahan seolah-olah seperti sebuah rumah. antara kemudahan yang ada seperti dapur untuk memasak, perlatan memasak, tempat tidur berserta tilam dan bantal, dan bilik air. amat selesa sekali apabila berada di atas house boat. Jika anda inginkan hiburan anda boleh menyewa house boat yang terdapat televisyen berserta astro tetapi dengan harga yang agak mahal sedikit namun masih berpatutan.

Perjalanan dari empangan ke lubuk untuk memancing, iaitu Sungai Mala memakan masa hampir 5 jam. dalam perjalanan itu penulis dapat menyaksikan pelbagai flora dan fauna yang amat menarik sekali. keindahan hutan semulajadinya amat manarik perhatian para pengunjung. kami tiba di Sungai mala pada jam 1 petang. house boat di ikat pada tunggul batang pokok yang telah mati di dalam air sebagai ganti sauh. maka dari situ, bermulalah misi memburu toman. Joran disiapkan, di letakkan umpan dan baling ke mana-mana sudut yang dirasakan toman berada. penulis hanya menggunakan tali serek atau poyang yang disediakan oleh ayah penulis untuk memancing.

terdapat pelbagai jenis umpan yang digunakan iaitu umpan tiruan mahupun umpan hidup seperti anak keli, anak puyu, dan sepat.

hari pertama kami agak tidak bernasib baik kerana hanya ikan sebarau dan beberapa ikan kecil sahaja yang berjaya dinaikkan. ianya hanyalah cukup-cukup sebagai santapan pada hari tersebut. namun begitu, kami tidak berputus asa.

pengalaman bermalam di atas rumah bot tidak boleh dilupakan. pada sebelah malam, aktiviti memancing terus dijalankan. banyak cerita yang dibualkan dalam menunggu umpan ditarik toman. banyak tali mancing yang putus, dan ada juga yang mata kailnya terbuka dibaham toman atau setaraf dengannya. pengalaman ini amat menyeronokkan. ternyata di tasik kenyir memang terdapat ikan yang besar.
pada keesokkannya kami mencuba lagi. ternyata keunggulan seorang pemancing profesional amat terserlah apabila ayah saya telah berjaya menaikkan seekor toman sebesar 4 kg. ini amat mengujakan kerana dalam kumpulan ini, hanya beliau sahaja yang mampu menaikkan toman. amat sukar untuk menaikkan toman di sungai mala. mungkin tempat tersebut bukan lubuk toman yang sebenar.