Monday, May 10, 2010

Ekspedisi mencari bebuas di Pulau Redang






Penulis bersama-sama 2 rakan bonsai telah ke Pulau Redang dalam memenuhi misi untuk mencari pokok bebuas. Dalam dunia bonsai di pantai timur, terutama Besut, Terengganu, ramai pemain bonsai yang tengah menggilai memburu pokok bebuas memandangkan pokok ini yang mempunyai nilai yang amat tinggi sekali setelah ianya dibonsaikan. Nilainya mampu mencecah ratusan ribu ringgit bergantung pada bentuk pokok tersebut. Jin, Shari, teras yang berlubang-lubang, lenggok pokok serta keunikan pokok menjadi faktor utama kecantikan pokok ini. Dari segi penjagaan pula, penjagaan pokok ini tidaklah secerewet pokok curcur atap yang telah dimiliki oleh penulis.

Ekspedisi kumpulan bonsai penulis telah bertolak dari Kampung Bari Bari besar dengan menggunakan bot nelayan pada jam 7.45pagi. Perjalanan ke sana memakan masa lebih kurang 45 minit, tidak jauh bezanya dengan menggunakan bot laju yang disediakan di Jeti Merang, Setiu. Ini adalah merupakan pertama kali penulis dan rakan-rakan ke Pulau Redang untuk mencari bebuas. tanpa pengalaman yang luas, kami hanya pilih mana-mana kawasan pulau yang kami inginkan.
Setibanya di pulau, kami terjumpa satu signboard yang menulis, dilarang memancaing, melabuhkan sauh, dan menyelam. Kawasan tersebut adalah merupakan kawasan pemuliharaan batu karang. batu karang di situ amat cantik sekali, pelbagai warna, bentuk dan corak. Penulis sempat mengutip beberapa batu karang yang telah terdampar di pinggir air untuk diletak di dalam akuarium penulis.

Hentian pertama penulis ini, penulis dan rakan-rakan menjumpai beberapa pohon bebuas yang sememangnya cantik sekali. Pokok bebuas pulau memang unik. Kami telah berhenti di beberapa tempat yang lain lagi dan telah memperolehi beberapa pokok bebuas yang unik dan cantik. Di pulau ini sebebnarnya telah ramai pemain bonsai yang datang mencari bebuas, kami telah menjumpai beberapa keratan pokok bebuas yang telah mati. Kami tetap berusaha mencari bebuas dan hasilnya kami juga menjumpai pokok yang cantik dan unik untuk dibonsaikan.

Antara cabaran yang terpaksa kami terpaksa tempuhi adalah seperti memanjat batu, mencungkil batu untuk menggali bebuas, dan penulis juga hampir terjatuh di lereng batu yang amat curam memandangkan tangan gagal berpaut dengan kuat di batu disebabkan tangan penuh dengan pokok dan peralatan. Ini membuatkan penulis lebih berhati-hati lagi selepas itu dan pada masa akan datang.

Kira-kira pada jam 3 petang, setelah berehat dan minyak enjin bot semakin kurang, kami mula bertolak pulang. Walaupun dalam kepenatan dan kepanasan, kami tetap berpuas hati dan berasa ingin ke sana lagi untuk mencari bebuas dan menikmati keindahan hutan semulajadi, hidupan laut dan bebuas yang sungguh memukau pandangan. Insyaalah, jika ada rezeki lebih, kami akan ke sana lagi pada bulan 6 dengan misi yang sama.

No comments: